PERLUAS SKIM INDUSTRI URUS SISA PRODUK SECARA SUKARELA

 

KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di bawah menteri baharu, Nik Nazmi Nik Ahmad pasti mempunyai banyak tanggungjawab dengan bidang kuasa digabungkan berbanding pentadbiran dahulu.

Bagaimanapun, kadar kitar semula kebangsaan antara perlu diberikan perhatian kerana ia sebenarnya berkait rapat dengan kecekapan penggunaan sumber melalui konsep ekonomi kitaran. Penggunaan sumber tidak terkawal secara tidak langsung menyebabkan pelepasan gas rumah hijau berlebihan. Dalam jangka panjang, hal ini boleh menjejaskan usaha bagi menjadikan negara neutral karbon menjelang 2050.

Kerajaan mensasarkan kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 40 peratus menjelang 2025, sekali gus selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke-12, iaitu pengeluaran dan penggunaan sumber bertanggungjawab.

Dalam merealisasikan ini, negara bergerak ke arah ekonomi kitaran bagi memastikan kelangsungan penggunaan sumber untuk jangka panjang. Nilai sumber akan cuba dikekalkan selama mungkin melalui aktiviti guna dan kitar semula.

Meskipun kadar itu meningkat setiap tahun, kebanyakan usaha kitar semula terarah kepada bahan tunggal seperti plastik dan kertas. Malah, kadar dilaporkan pada tahun ini hanya 33.17 peratus, sekali gus lebih rendah berbanding negara Eropah yang mempunyai kadar kitar semula 64 peratus untuk sisa pembungkusan dan sisa domestik (49 peratus).

Oleh itu, langkah strategik menyeluruh perlu diatur untuk mengitar semula bahan kompleks, sukar dileraikan dan mencabar untuk dikitar semula secara biasa, contohnya produk berasaskan elektronik.

Kurangkan beban kewangan

Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) antara inisiatif strategik boleh digunakan pihak berkuasa. Skim EPR meletakkan tanggungjawab pelupusan produk selepas tempoh penggunaan kepada pengeluar produk berkenaan. Skim ini berasaskan pengguna atau pencemar membayar, lalu membolehkan beban kewangan pihak berkuasa dikurangkan.

Skim EPR menggalakkan pengeluar mengambil kira keseluruhan kitar hayat produk mereka. Contohnya, pengamalan konsep lestari ketika fasa mereka bentuk. Pengeluar boleh mereka bentuk produk menggunakan konsep modular bagi memudahkan proses peleraian bagi tujuan kitar semula.

Umumnya, cabaran proses kitar semula adalah proses pengasingan komponen produk mengikut jenis bahan. Percampuran bahan terlalu kompleks menyebabkan kitar semula menjadi sukar dan menelan kos tinggi kerana memerlukan teknologi khusus untuk pengasingan. Bagi memudahkan kitar semula, pengeluar boleh merancang percampuran bahan dalam sesuatu produk adalah minimum.

Pelaksanaan EPR memerlukan pengeluar bertanggungjawab dalam pengumpulan produk dan penyediaan kemudahan serta teknologi untuk kitar semula. Mengikut amalan negara maju, pengeluar produk hampir sama secara kolektif akan membentuk satu konsortium bebas bagi memastikan agenda kitar semula dapat dijayakan.

Terdapat juga pengeluar akan melantik pihak ketiga untuk pengurusan berkaitan EPR kerana pengeluar biasanya lebih tertumpu kepada aspek pembuatan, pemasaran produk dan pengembangan produk.

Sebagai langkah pengenalan untuk pelaksanaan EPR, caj tambahan setiap produk boleh dikenakan kepada pengeluar. Dana terkumpul melalui caj ini boleh disalurkan untuk pewujudan sistem pengumpulan produk akhir hayat cekap dan penyediaan teknologi kitar semula.

Melalui kaedah ini, beban kewangan umumnya kepada pihak berkuasa akan dapat dikurangkan. Seterusnya, dana kerajaan dijimatkan boleh disalurkan untuk penambahbaikan aspek pengurusan dan kitar semula sisa lain seperti mewujudkan pusat pengumpulan bahan sistematik, penambahan tong kitar semula serta pelaksanaan kempen kesedaran.

Dengan pelaksanaan EPR, pengeluar tidak boleh lepas tangan terhadap sisa produk masing-masing apabila sampai ke penghujung kitar hayat.

Bagi memastikan kejayaan skim EPR, pelaksanaan perlu dibuat menyeluruh dengan penetapan objektif bersifat kuantitatif boleh dicapai. Kadar pemungutan sisa dan peratus kitar semula boleh dijadikan kayu pengukur.

Pihak berkuasa perlu memaklumkan objektif skim EPR dengan jelas kepada pengeluar. Insentif wajar diberikan kepada pengeluar ingin terbabit dalam skim EPR secara sukarela. Insentif ini boleh diberikan dalam bentuk geran sepadan atau bantuan kewangan lain bagi terus memberi motivasi kepada pengeluar untuk terus memelihara alam sekitar.

Di negara ini, EPR wujud dalam sektor biogas yang pelepasan gas metana dibakar perlu disalurkan semula untuk digunakan dalam kilang. Sisa organik pula dikompos untuk dijadikan sebagai baja dan sumber nutrien kepada tanah.

Skim EPR turut digariskan sebagai antara tindakan dalam Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030. Antara cabaran untuk memastikan ekonomi kitaran untuk sisa plastik adalah ketiadaan skim EPR.

Skim EPR sedia ada hanyalah berbentuk sukarela oleh pengeluar dalam bidang pembungkusan, justeru pelaksanaannya wajar diperluaskan untuk produk selain plastik yang lebih ternyata lebih kompleks dan rumit dikitar semula.

Di luar negara, skim EPR dilaksanakan untuk produk selain berasaskan plastik. Contohnya, Quebec di Canada menggunakan skim EPR untuk pemungutan sisa elektronik. Menurut laporan World Wide Fund for Nature, skim EPR diguna pakai di Jerman, Taiwan dan Korea Selatan untuk sisa pembungkusan makanan daripada bahan seperti kertas, kaca dan logam.

Elak pembuangan sisa haram

Satu kajian oleh penyelidik di Scotland melaporkan kejayaan pelaksanaan EPR untuk sisa tayar di Belgium, Itali dan Belanda. Perkembangan positif ditunjukkan dalam mengelakkan pembuangan sisa haram serta meningkatkan kecekapan penggunaan sumber. Skim ini juga terbukti meningkatkan jumlah sisa tayar dikumpul bagi tujuan penggunaan semula. Selain kitar semula, sebahagian sisa dieksport ke luar negara dan disalurkan untuk tujan penjanaan tenaga.

Skim EPR menjadikan ekonomi kitaran suatu realiti dengan mengikut susunan dalam hierarki pengurusan sisa. Dalam hierarki ini, pengurusan secara guna atau kitar semula lebih digalakkan berbanding dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Pengenalan skim EPR lebih menyeluruh akan dapat menjadikan pengeluar turut bertanggungjawab dalam menguruskan sisa produk sendiri. Sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban kos pelupusan terpaksa ditanggung sebelum ini oleh pengguna dan pihak berkuasa. Namun, pihak berkuasa dan pengeluar perlu duduk semeja supaya skim EPR ini tidak sekadar tercatat di atas kertas, tetapi menjadi sistem terbaik untuk diamalkan secara sukarela sepanjang masa.