Ke arah Mewujudkan UniMAP Sebagai Kampus Hijau – Manusia

Perlaksanaan Kampus Hijau adalah satu inisiatif terbaru UniMAP didalam usaha meningkatkan penggunaan tenaga secara lebih berkesan, memelihara sumber alam dan memperbaiki kualiti alam sekitar dengan memberikan pendidikan kearah kelestarian dan mewujudkan kehidupan yang lebih sihat.

Salah satu elemen yang menjadi teras dalam perlaksaan Program Kampus Hijau ini merupakan manusia. Jawatankuasa Manusia, Kampus Hijau UniMAP yang diketuai, Dr Shuhaida Binti Yahud berkata, elemen manusia adalah merupakan antara elemen yang terpenting kerana komponen utama sesebuah institusi pengajian tinggi adalah terdiri daripada pelajar dan staf universiti itu sendiri.

“Antara langkah awal yang kita dilakukan ialah memberikan pendedahan kepada warga universiti tentang kewujudan program Kampus Hijau di UniMAP. Ini dilaksanakan dengan menyediakan ‘buntings’ disekitar kampus tetap Pauh Putra dan juga meletakkan ‘banner’ Kampus Hijau didalam laman web UniMAP.

“Kempen berterusan akan dilakukan disekitar UniMAP, merangkumi aktiviti – aktiviti pelajar dan persatuan yang memberi fokus kepada alam sekitar dan cara hidup yang memelihara alam sekitar,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya lagi, kempen ‘Going Green’ akan memberikan pendedahan kepada warga UniMAP mengenai perkara – perkara asas yang dapat dilakukan bagi menyokong perlaksanaan Kampus Hijau.

“Sasaran utama kita bukan hanya dikalangan pelajar semata-mata, kita juga perlu menerapkan ia di kalangan staf kerana amalan ini bukan sahaja untuk diamalkan di kampus tetapi saya berharap ia akan menjadi sebahagian dari cara hidup dan dipraktikkan diluar lingkungan pusat pengajian.

“Selain dari perubahan sikap, langkah berikutnya adalah seperti memperkenalkan aktiviti-aktiviti pendidikan yang tidak rasmi bagi memupuk minat dan kecintaan terhadap alam sekitar. Aktiviti seperti satu pusat pengajian satu taman, kitar semula dan hidup (recycle and revive) dan pertandingan seni kitar semula (recyle craft),”katanya lagi.

Dr Shuhaida berkata, untuk mengubah cara pemikiran setiap manusia bukan sesuatu yang mudah. Keberkesanan perlaksanaan Kampus Hijau ini tidak akan menjadi satu kenyataan selagi mana, semua individu di UniMAP ini tidak memahami kepentingan kenapa kita harus melestarikan kampus UniMAP ini.

“Sikap dan cara hidup adalah perlu selari dengan hala tuju pelestarian UniMAP, yang mana program Kampus Hijau ini akan membawa perubahan di dalam diri setiap individu dan mempengaruhi persekitarannya menjadi lebih positif di dalam menambaikkan keberkesanan tenaga (energy efficiency), mengurangkan buangan dan memulihara sumber alam yang berharga. Jika amalan Hijau ini menjadi salah satu dari cara hidup warga UniMAP, ini akan mempengaruhi komuniti setempat dan masyarakat amnya.

“Saya berharap kempen ini akan memberi satu kesedaran kepada warga UniMAP agar lebih menyayangi alam sekitar dan sedar bahawa perubahan positif setiap individu walaupun kecil adalah penting untuk masa hadapan yang selamat bagi generasi akan datang, kesannya akan menjadi lebih besar sekiranya dapat diamalkan dalam kehidupan seharian,”katanya.

Katanya lagi, dengan wujudnya kesedaran dalam diri setiap manusia, beliau berharap lebih ramai yang berminat untuk turut serta melaksanakan Kampus Hijau UniMAP dan membudayakan pelestarian di UniMAP dalam semua perkara dari segi pengajaran, penyelidikan, pentadbiran dan sumbangan terhadap masyarakat.