Pembelian Hijau

PEMBELIAN HIJAU

Pembelian Hijau bermaksud pembelian barangan dan perkhidmatan yang mesra alam. Ini bermakna barangan dan perkhidmatan yang dibeli itu membawa kesan persekitaran yang sedikit ke atas kesihatan manusia dan alam sekitar TANPA mengkompromi sifatnya berbanding barangan asal yang tidak mesra alam. Alternatif pembelian hijau juga perlu lebih cekap dari segi penggunaan tenaga. Walaupun pada awalnya hasil pembelian hijau mungkin kelihatan marginal, tapi secara purata, amalan ini memberikan pulangan yang berbaloi kepada universiti.

Justeru, suatu inisiatif telah digerakkan untuk melahirkan Garis Panduan Pembelian Hijau untuk dijadikan panduan dalam pembelian di universiti ini. Ia diharap dapat memberi petunjuk atau pedoman kepada staf dan pelajar universiti tentang kaedah pembelian barangan dan perkhidmatan yang akan meminima atau mengurangkan impak ke atas kesihatan manusia dan alam sekitar melalui pembelian barangan yang  menjimatkan kos dan tenaga. Inisiatif ini juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan pembelian hijau melalui pengaplikasian ‘Pengenalan Perolehan Hijau’ (Government Green Procurement) yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebagai rujukan utama. Selain itu, beberapa model garis panduan daripada insitusi dalam dan luar negara telah dijadikan panduan dalam merangka garis panduan ini.

Dalam garis panduan itu, produk atau perkhidmatan yang dibeli seharusnya:

1.    Mempunyai label alam sekitar serta kadar penggunaan tenaga atau air yang rendah (seperti mempunyai SIRIM Eco Label).
2.    Mempunyai ciri-ciri penjimatan tenaga atau mod "sleep" apabila tidak digunakan.
3.    Dibeli daripada pembekal yang mempunyai afiliasi alam sekitar seperti ISO 14001, SIRIM Eco Label, Anugerah Hibiscus Perdana Menteri, dan anugerah-anugerah alam sekitar yang lain.
4.    Mengandungi bahan kitar semula.
5.    Mempunyai ciri-ciri mudah dibaiki atau dinaiktaraf untuk memanjangkan kitaran hayatnya.
6.    Mempunyai ciri-ciri 'mesra alam’ yang boleh mengurangkan atau meminimakan kesan terhadap kemusnahan alam sekitar.
7.    Mengambil kira penggunaan kuantiti tenaga atau bahan yang diperlukan.
8.    Mengambil berat beberapa ciri yang dapat memberi kesan kepada alam sekitar seperti boleh dikitar semula, dijual atau didermakan selepas tamat jangka hayat peralatan tersebut.
9.    Melibatkan pemasangan atau buatan tempatan bagi mengurangkan pengangkutan sekaligus mengurangkan kesan karbon terhadap alam sekitar.
10.    Merupakan produk yang selamat digunakan, kurang toksik atau tanpa toksik.
11.    Menggunakan bahan yang boleh diperbaharui yang mempunyai kadar biodegradasi yang tinggi dan mudah terurai.
 


Selain itu, bagi memudahkan penggunaan garis panduan ini, klasifikasi panduan pembelian hijau mengikut kategori produk/perkhidmatan telah dibuat seperti perabot, peralatan makmal, alat tulis, alat percetakan dan sebagainya.
Adalah diharapkan Garis Panduan ini dapat merintis kepada amalan hijau yang lebih efektif terutamanya dalam menjayakan hasrat menjadikan UniMAP sebuah Kampus Lestari.