UniMAP Juara Program Pengumpulan Sisa Elektronik Isi Rumah (e-waste)

 

Sempena Hari Alam Sekitar Negara 2018, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melancarkan Program Pengumpulan Sisa Elektronik Isi Rumah. Program ini bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membuang sisa-sisa elektronik di tempat yang betul. Langkah ini boleh mengurangkan pencemaran alam sekitar serta memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Perasmian Hari Alam Sekitar Negara 2018 Peringkat Negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah, Perlis.

Ketua Pengarah JAS Datuk Ahmad Kamarulnajuib Ibrahim berkata pembuangan sisa elektronik terpakai berjumlah jutaan kilogram setiap tahun telah mencemarkan alam sekitar dan memendekkan tapak hayat pelupusan sampah. Beliau juga berkata sisa elektronik terpakai mempunyai komponen berharga yang boleh dikitar semula. Amalan ini telah dilakukan oleh Jepun dan tidak mustahil, kita juga boleh melakukannya.

Universiti Malaysia Perlis turut melibatkan diri dalam pertandingan pengumpulan sisa elektronik (e-waste) di mana tiga buah tempat pusat pengumpulan telah ditubuhkan iaitu di UniMAP Kampus Kubang Gajah, UniMAP Kampus Pauh dan di pejabat Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP), Seriab. Kelab Lestari UniMAP turut bekerjasama dalam menjayakan penglibatan ini. Sepanjang program pengumpulan E-Waste dijalankan oleh UniMAP, ramai pelajar, staf dan juga orang awam turut menyumbang sisa elektronik isi rumah. Dalam majlis ini, UniMAP telah dinobatkan juara dalam Pertandingan Pengumpulan E-Waste (Kategori IPT) yang di mana sebanyak 7 tan telah berjaya dikumpul. 

Antara barangan elektronik yang berjaya dikumpul adalah seperti televisyen, komputer, penyaman udara, mesin fotostat, projektor, mesin pencetak dan barangan elektronik campuran seperti periuk nasi elektrik, kamera digital, kipas, dan sebagainya. Hal ini menunjukkan kesedaran orang awam tentang kepentingan kitar semula sisa elektronik serta alam sekitar amatlah memberangsangkan.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Program Pengumpulan Sisa Elektronik Isi Rumah. Melestarikan alam sekitar tanggungjawab kita bersama.

 

Source taken from : Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UniMAP Official Website

Image & News : https://osh.unimap.edu.my/index.php/2-berita/179-unimap-juara-program-pengumpulan-sisa-elektronik-isi-rumah-e-waste