Perlis Bertindak Bijak Dalam Mengurus Sisa Pepejal

Dr. Mohd Mizan Aslam
Pegarah Unit Pembangunan Lestari,
Universiti Malaysia Perlis

Hanya dua daripada 160 tapak perlupusan sampah di negara ini terletak di Perlis. Malah tapak perlupusan pertama yang terletak di Kampung Wai, Kuala Perlis telah dilakukan penutupan selamat beberapa tahun lepas. Tapak tersebut telah di’transform’ menjadi kawasan bekalan tenaga semula jadi terbaru bagi negeri Perlis. Seterusnya, Syngas yang telah beberapa tahun beroperasi di negeri Perlis telah menghasilkan diesel teknologi hijau yang bermutu tinggi dan mempunyai pasaran yang cukup baik terutamanya di pasaran antarabangsa seperti Australia dan Sri Lanka.

Pada ketika ini, tapak pelupusan di Padang Siding adalah merupakan tapak pembuangan yang menggunakan pakar tempatan dengan method rawatan biologi melalui penggunaan Effective Microorganism (ME). Tapak ini telah merekodkan pengeluaran sisa sebanyak 186 tan sehari atau kira-kira hampir satu kilogram sampah bagi setiap penduduk di Perlis. Walau bagaimanapun, jumlah ini sebenarnya mungkin dua atau tiga kali ganda lebih tinggi kerana pengiraan adalah berdasarkan lori yang masuk ke tapak perlupusan, bagaimana pula sampah yang dibuang di sekitar rumah, di bakar, di tanam dan pelbagai medium pulupusan sendiri yang tidak bersistem. Walaupun angka yang dicatatkan oleh tapak pelupusan Padang siding masih jauh lebih rendah berbanding tapak-tapak yang lebih besar seperti di Bukit Tagar, Selangor yang merekodkan sisa melebihi 4000 tan sehari. Walau bagaimanapun angka tersebut boleh dirasionalkan semula dengan jumlah penduduk yang diberikan perkhidmatan tersebut.

Pada 2014, tapak pelupusan sampah terbaru dikenali sebagai ‘Tapak Pelupusan Sanitari’akan beroperasi sepenuhnya di Rimba Emas berhampiran Felda Chuping. Tapak yang menggunakan teknologi moden ini mampu merawat ‘leachate’ daripada mencemar saliran air bawah tanah dan mempunyai penutup harian dengan menggunakan alas dari tanah atau plastik yang akan dapat menggelak bau busuk dan menghalang daripada gangguan binatang seperti anjing, tikus, ular dan lain-lain lagi. Tapak perlupusan terbaru ini juga akan dilengkapi logi rawatan dan jambatan timbang serta dikawal komputer sepenuhnya.
Akan tetapi, semua kemudahan yang dimiliki oleh negeri Perlis ini memerlukan kepada penggerak uatamanya iaitu manusia yang mampu menggunakan akal fikiran dengan rasional serta berpengetahuan tinggi Masyarakat juga secara pastinya mesti mengubah cara hidup agar dapat menjayakan inisiatif yang telah dibangunkan. Lebih separuh daripada sisa yang dibuang ini adalah merupakan sisa dapur iaitu sayuran yang tidak diperlukan, kulit bawang, bahagian dalaman ikan dan ayam seperti perut dan tulang, lebihan makanan yang tidak dihabiskan, sisa dan makanan tamat tempoh.

Dengan kadar pertambahan penduduk sebanyak 2.4 peratus atau kira-kira 600,000 setahun dan kemampuan kewangan dan perbelanjaan yang semakin baik, dijangkakan bahawa timbunan sampah yang dihasilkan setiap hari adalah sebesar 20 buah padang bola dengan ketebalan satu meter. Sebanyak 9.1 juta sampah akan dihasilkan setahun oleh 36 juta penduduk pada tahun 2020 nanti. mahu tidak mahu, sekarang ini sudah sampai masanya untuk rakyat Perlis menjadi penduduk yang mempunyai kesedaran untuk melaksanakan pembuangan sisa dengan lebih bijak.

Kempen ‘kitar semula’ yang dilakukan secara besar-besaran oleh kerajaan hanya menunjukkan kejayaan pada tahap lima peratus berbanding 22 peratus yang disasarkan pada 2020, Malaysia masih mempunyai jalan yang berliku untuk mencapai tahap 50 peratus kitar semula sebagaimana yang dimalkan oleh negara Jepun. Apabila kesedaran dimiliki, disokong pula oleh polisi yang baik disamping penguatkuasaan dan pendidikan yang betul, inilah sebenarnya kunci kepada kejayaan kitar semula.
Pelbagai inisiatif boleh diambil oleh sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi dan setiap keluarga dengan aktiviti penghasilan baja ‘kompos’ di belakang rumah, mengambil makanan pada kadar yang diperlukan sahaja, perbanyakkan penghasilan sumber makanan organik, bidang hiliran yang menyokong aktiviti kitar semula, stesyen kitar semula, pengurusan sisa pepejal, mengurangkan majlis-majlis makan dan pelbagai inisiatif lain boleh dirangka bagi.

Malah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merupakan Canselor UniMAP juga telah menitahkan bahawa penggunakan bekas makanan daripada ‘styrofoam’ hendaklah dikurangkan dan dielakkan dalam majlis-majlis rasmi yang dihadiri beliau. Ini memperlihatkan keperihatanan pengurusan tertinggi negeri untuk menjayakan agenda penting demi masa depan negara yang tercinta ini.

Jika pengurusan sisa makanan di rumah boleh ditingkatkan, maka kadar pembuangan sampah akan dapat diturunkan dengan signifikan. Kos pembuangan sampah yang rendah di Malaysia menyebabkan pengguna memilih jalan dengan membuang semua sampahnya ke dalam tong sampah. Akan tetapi kos pengurusan tapak-tapak perlupusan sampah ini adalah jauh lebih mahal dan meninggalkan kesan kekal sekurang-kurangnya kepada beberapa generasi yang akan datang. Masyarakat harus bersedia untuk mengubah cara hidup mereka demi mencapai kehidupan yang lebih baik dan bermakna. Fikirkanlah, bahawasanya dunia yang dicintai ini boleh hidup dengan aman damai tanpa manusia, akan tetapi manusia pula tidak boleh hidup tanpa dunia dan isinya.