Ke arah Mewujudkan UniMAP Sebagai Kampus Hijau – Tanah & Air

Elemen tanah dan air merupakan antara aspek terpenting yang perlu dititikberatkan dalam usaha untuk merealisasikan impian mewujudkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai sebuah Kampus Hijau.

Atas kesedaran itu, Jawatankuasa Tanah dan Air, Kampus Hijau UniMAP yang diketuai Dr. Sharifah Shahnaz Syed Bakar diberikan tanggungjawab bagi menguruskan dua elemen ini dalam menghidupkan suasana hijau dalam kampus.

“Tanah merupakan elemen utama yang terdapat di mana-mana, tidak terkecuali di kampus semata-mata. Kawasan tanah ini meluas, dan sekiranya diaplikasikan dengan sebaik-baiknya secara berkhemah dan berteraskan matlamat menghijaukan kampus, ianya amatlah berkesan.

Ia boleh berfungsi sebagai nadi hijau atau “green lung” di mana pelbagai tanaman boleh disusun atur mengikut tujuan sesuatu kawasan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Katanya lagi, penanaman pohon-pohon rendang yang bertujuan meredupkan kawasan sekaligus memberikan sumber oksigen pada para pelajar, penyusunan landskap bagi mengindahkan lokasi pembelajaran dan penyemaian pokok-pokok sayuran bagi menghasilkan sumber makanan yang lebih segar, murah dan mudah.

“Satu lagi elemen yang penting adalah air. Pengendalian air berasaskan penghijauan kampus adalah sangat penting dan mudah pada dasarnya, tetapi seringkali diambil mudah.

“Penjimatan penggunaan air merupakan asas utama dalam menghidupkan suasana hijau dalam kampus. Contoh paling mudah bermula pada awal pagi, penggunaan air pili semasa menggosok gigi, mandi harus dititikberatkan walaupun remeh, tetapi apabila diamalkan oleh seluruh pelajar akan memberikan perubahan yang besar,”katanya lagi.


Menurutnya lagi, perlaksanaan penghijauan kampus melalui kedua-dua elemen itu melibatkan sekecil-kecil langkah sehinggalah pemasangan sistem yang agak kompleks dan semua warga UniMAP perlu memainkan peranan masing-masing kerana kedua-dua elemen merupakan merupakan nadi kehidupan seharian.

“Untuk permulaan, kempen penjimatan air, pemantauan penggunaan air melalui pecahan bil, penanaman pokok yang bervariasi pada setiap kawasan adalah plan jangka masa pendek dan sederhana yang mampu dilaksanakan dalam masa terdekat dengan kos yang sederhana, ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

“Kita masih merancang langkah-langkah yang telah atau sedang diambil untuk memastikan elemen tanah dan air ini dapat menyumbang kepada pembangunan kampus hijau,”katanya.

Antara pelan jangka panjang UniMAP adalah pemasangan sistem tadahan dan penyimpanan air hujan pada setiap bangunan di kampus. Sistem tersebut bermula dari tadahan pada bahagian bumbung tingkat atas bangunan dan disalirkan dan ditapis ke loji simpanan air di bawah tanah.

“Sekiranya sistem ini dapat direalisasikan, ia dapat menjimatkan penggunaan air pili konvensional seterusnya menjimatkan bil air dan membudayakan suasana hijau di dalam kampus.

“Walaupun pemasangan sistem memerlukan belanja yang besar, namun UniMAP boleh mewujudkan kerjasama dengan syarikat pembekal dan menjadi kampus contoh dalam mengamalkan sistem ini, seterusnya menjadi amalan yang berterusan dan dapat dicontohi oleh masyarakat atau agensi-agensi luar,”katanya lagi.